PROJEK HOSPITAL REMBAU DIJANGKA SIAP PADA HUJUNG TAHUN 2017

REMBAU - Projek pembinaan Hospital Rembau telah siap sebanyak 68 peratus sehingga kini.

Wakil Pegawai Pasukan Projek Khas Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Rohaya Abdul Mois berkata, berdasarkan jadual, projek berkenaan harus mencapai peratus siap sebanyak 98 peratus berbanding 68 peratus.

Bagaimanapun menurutnya, kelewatan peratusan siap projek berkenaan berlaku susulan mengalami masalah dari segi reka bentuk di peringkat awal.

"Terdahulu pihak JKR telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan perunding sebelum ini dan kali ini pihak kontraktor yang dilantik menunjukkan komitmen yang tinggi bagi mencapai sasaran siap projek pada 29 Disember ini.

 

"Pihak kontraktor melalui taklimat akan berusaha mencapai sekurang-kurangnya enam peratus pada setiap bulan bagi projek pembinaan Hospital Rembau ini," katanya sempena Lawatan Kerja Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli ke Hospital Rembau, di sini, tadi.

Turut hadir, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainuddin Mohd Ali; Pegawai Daerah Rembau, Amino Agos Suyub; Pengarah Operasi SEIE Engineering Sdn Bhd, Zafirul Shahabudin.

Rohaya berkata, projek Hospital Rembau berkenaan dijangka akan siap serta mula beroperasi pada pertengahan tahun hadapan.

Untuk rekod, projek pembangunan Hospital Rembau dengan kapasiti 76 buah katil ini dibina di tanah berkeluasan 19.4 hektar yang terletak di Chembong, Rembau dengan kos pembinaan berjumlah hampir RM97 juta.

Tambahan sebanyak RM12 juta bakal diusulkan.

Pembinaan projek ini dikendalikan Pasukan Projek Khas (Bangunan) Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

 

SUMBER : http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pembinaan-hospital-rembau-siap-68-peratus-1.700584

 

 

 

 

 

SENARAI KLINIK YANG BERADA BERHAMPIRAN DENGAN PI PEDAS :

1.     KLINIK KESIHATAN PEDAS

2.     KLINIK KESIHATAN REMBAU

3.     KLINIK DESA PEDAS HILIR