Majlis Daerah Rembau telah menyediakan tempat bersukan dan reakreasi untuk kegunaan orang awam iaitu Taman Rekreasi Majlis Daerah Rembau atau lebih dikenali sebagai Taman Rekreasi Rembau. Taman Rekreasi Rembau telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa Bin Dato' Haji Abdul Samad pada 8 September 1998. Apa yang menarik ialah dengan adanya sebuah jambatan gantung yang boleh digunakan untuk menyeberangi tasik. Selain daripada itu, terdapat taman permainan untuk kanak-kanak dan juga pondok rehat untuk pengunjung serta bersebelahan dengan Mini Stadium Daerah Rembau. Lokasi Taman Rekreasi Rembau yang terletak dengan jalan raya utama selain berhampiran dengan Kompleks Daerah Rembau menjadikan taman ini tumpuan penduduk setempat.

 

 

D'BUKIT HOMESTAY

D’Bukit Homestay terletak di Kundur Daerah Rembau dan lokasinya yang terletak jauh dari kesibukan kota di tengah hutan. Untuk sampai ke D’Bukit Homestay ini perlu menyusuri jalan kampung sepanjang 2KM dari jalan utama. D’Bukit Homestay ini adalah milik keluarga Melayu turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti bilik penginapan, surau, tandas, dapur memasak, tempat barbeku, kolam renang, kolam memancing, mini zoo dan turut terdapat sarang kelulut di atas bukit. Sumber air kolam renang dan kolam memancing di D’Bukit Homestay ini adalah air bukit yang mengalir di celahah batu-batu bukit maka airnya sangat sejuk. Terdapat kolam ikan dan kolam udang yang disediakan untuk kaki pancing. Ikan di kolam tersebut juga besar-besar dan hasil tangkapan boleh dimasak dengan syarat tidak boleh dibawa keluar dari D’Bukit Homestay. Jika musim durian tiba, pengunjung dibenarkan makan durian tersebut kerana lokasi D’Bukit terletak di kebun durian.

 

Kemudahan yang disediakan :

- Bilik penginapan - 5 unit

- Surau

- Kolam renang

- Kolam memancing

- Dapur

- Tempat barbeku

- Zoo mini

- Sarang madu kelulut

 

 

 

 

 

GUNUNG DATUK

GUNUNG Datuk merupakan puncak tertinggi di daerah Rembau, Negeri Sembilan, dengan ketinggian 884 meter, menjadi lokasi riadah bagi mereka yang gemar mendaki gunung.

Selain Gunung Datuk, Negeri Sembilan juga mempunyai lapan gunung, bagaimanapun Gunung Datuk adalah yang paling popular berikutan mempunyai flora dan fauna yang belum tercemar, dan keindahan alam semula jadi. Mengambil masa sekitar dua jam untuk sampai ke puncak, kebanyakan mereka gemar mendaki pada awal pagi untuk melihat matahari terbit Malah, pengunjung juga boleh melihat kapal belayar di Selat Melaka.

Gunung Datuk juga menyimpan seribu satu kisah sejarah kerana di atas batu puncak gunung itu dikatakan terdapat kesan tapak kaki Hang Tuah.

Mengikut sejarah, kesan Ekspedisi Pamalayu pada tahun 1275 antara Kerajaan Singasari  di Jawa ke Kerajaan Dharmasraya di Sumatera menyebabkan pembukaan lima kerajaan tua di Negeri Sembilan, termasuk Kerajaan Prabu yang lokasinya kini terletak di Gunung Datuk.

Empat lagi kerajaan dikatakan terbentuk sebelum kedatangan orang Minangkabau ke negeri beradat itu ialah Kerajaan Sang Hyang Ujong yang kini terletak di Tanjung Tuan (Port Dickson), Kerajaan Kepayang di Seremban 2 (Seremban), Kerajaan Air Garam di Mambau (Seremban) dan Kerajaan Fo Lo An di Beranang atau Broga, bersempadanan antara Negeri Sembilan dan Selangor.

Kisah sejarah itu dikongsikan dua peminat susur galur sejarah di Negeri Sembilan, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, 48, dan Osman Mohammad, 54,  dalam temu bual bersama Sinar Harian.

Mohd Khairil berkata, kawasan Kerajaan Prabu berfungsi sebagai pusat pembelajaran agama yang dianuti mereka, Buddha Tantrayana dengan kaedah bertapa bagi menambah ilmu.

“Catatan mengenai Kerajaan Prabu ini ada ditulis pakar rujuk adat dan budaya Negeri Sembilan, Allahyarham Profesor Norhalim Ibrahim.  Namun, catatan itu tidak dicetak dalam mana-mana buku dan hanya dibuat dalam bentuk laporan," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak pernah dibukukan, tradisi Gunung Datuk sebagai lokasi istimewa serta beradat diteruskan dalam catatan sejarah yang dipaparkan di tapak kaki Gunung Datuk.

Mengikut catatan berkenaan, katanya, pada tahun 1372, puncak Gunung Datuk digunakan Datuk Perpatih Nan Sebatang untuk mengumpulkan Ketua-ketua Adat dan mengisytiharkan gelaran serta nama penyandang Datuk Lembaga.

“Sehingga awal tahun 90-an, saya masih mendapat maklumat lokasi puncak gunung dijadikan sebagai lokasi pertapaan oleh individu yang berhajat untuk mendapat ilmu.  Malah, saya yakin sehingga ke hari ini, masih ada lagi amalan bertapa di puncak gunung berkenaan.

“Perlu diingatkan, mengikut cerita orang dulu-dulu, puncak Gunung Datuk merupakan lokasi pertapaan bagi mendapat ilmu putih (ilmu baik). Manakala, puncak Gunung Gagak yang juga berada tidak jauh dari lokasi berkenaan merupakan lokasi pertapaan bagi mendapatkan ilmu hitam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi Gunung Gagak kerana kebanyakan kes sesat membabitkan individu yang terpesona dan tersasar menuju ke gunung berkenaan.

“Ikut cerita orang dulu-dulu, ada juga kes orang tak pulang-pulang lepas ke pintu masuk Gunung Gagak yang merupakan kawasan mata air di tapak kaki puncak yang membezakan dua laluan - ke Gunung Datuk dan Gunung Gagak.

“Jadi orang ramai yang mendaki Gunung Datuk dinasihatkan untuk tidak terlalu suka dan menjaga niat mereka supaya tidak ‘terpanggil’ ke Gunung Gagak.  Ada yang terdengar bunyi deruan air atau diajak seorang orang tua ke sana (Gunung Gagak)," katanya.

Tapak kaki Hang Tuah

Mohd Khairil berkata, kewujudan kesan sebelah tapak kaki yang didakwa kepunyaan Hang Tuah di atas puncak Gunung Datuk berkenaan menjadikan lokasi puncak gunung semakin menarik untuk dikunjungi.

Bagaimanapun, katanya, sesiapa sahaja yang pernah sampai dan cuba bergambar di tapak kaki berkenaan pasti akan tertanya-tanya, mengapa saiz tapak kaki itu seperti saiz tapak kaki mereka.

“Antara persoalan yang pasti akan terlintas di hati pengunjung ialah saiz badan Hang Tuah. Betulkah ia benar-benar milik tapak kaki Hang Tuah? Saya tak pernah kaji kebenarannya, namun perlu diingatkan tiada manusia yang boleh menghasilkan kesan tapak kaki di batu sebaik melangkah.  

“Oleh itu, saya memikirkan logiknya bukan saiz badan yang membuatkan kesan tapak kaki berkenaan tetapi ketinggian ilmu yang dimiliki pemilik kesan tapak kaki berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sebelah tapak kaki Hang Tuah itu dikatakan berada di puncak Gunung Datuk, manakala sebelah lagi terdapat di Tanjung Tuan.

"Tetapi masih ada sejarah yang tersembunyi dan belum terungkai kerana tapak kaki berkenaan juga ada didapati pada batu di salah sebuah sekolah di daerah Rembau," katanya.

 

sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-tua-di-sebalik-gunung-datuk-1.631768

 

 

 

 

 

 

KEM BINA NEGARA ULU SEPRI

KAMPUNG EMPANG BATU, 71300 REMBAU, NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS.

No. Telefon : 06-6854967  No. Faks : 06-6853960

 

 

 

 

 

 

 

WET WORLD RESORT AIR PANAS PEDAS

ALAMAT : LOT 603, JALAN TAMPIN, MUKIN PEDAS, 71400 PEDAS, NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

 

http://wetworld.my/